Datuk, JKM pantau perkembangan bayi di PICU

bayi dua bulan dera

KEADAAN bayi lelaki berusia dua bulan yang masih ditempatkan di PICU akan dipantau oleh datuknya bersama-sama JKM Melaka. – Foto oleh AFIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

MELAKA – Keadaan bayi lelaki berusia dua bulan yang cedera parah dipercayai akibat didera ibu dan bapanya akan dipantau oleh waris iaitu datuknya bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhamad berkata, pihaknya telah menghubungi waris mangsa dan penjagaan akan dilakukan oleh datuknya.

“Kami sudah menghubungi waris dan bayi ini mempunyai datuk. Jika waris yang boleh jaga berbanding pihak kami, itu adalah lebih baik kerana pertalian keluarga diutamakan.

“Pihak JKM juga akan pantau sama, apa-apa pun kita kena tunggu dulu kerana bayi masih di hospital (Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Melaka),” katanya ringkas kepada pemberita, hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki akibat didera ibu dan bapa kandungnya di Taman Seri Pelangi, Sungai Petai, Alor Gajah, Isnin lalu.

Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya yang juga suspek berusia 22 tahun.

Suspek terbabit turut mendakwa bayinya diserang sawan sebelum meninggalkan mangsa di hospital sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan dilakukan mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan lama dan baharu di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka-luka di badan dan leher. – https://amiminerals.org/