\’Datuk\’ ditahan pandu van sekolah lawan arus

WhatsApp Image 2025 04 08 at 11.25.50 PM

Tangkap layar pemandu van sekolah warga emas dirakam memandu secara melawan arus di BORR.

SEBERANG PERAI – Seorang warga emas yang memandu van sekolah secara lawan arus di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) telah ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pemandu warga emas lelaki berusia 70 tahun itu diberkas selepas pihaknya terkesan dengan satu video tular yang dimuat naik di media sosial di lebuh raya terbabit kira-kira pukul 1.40 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu memandu dari arah Jalan Bagan Lalang menuju Raja Uda sebelum berasa pening dan tanpa sedar meneruskan perjalanan secara melawan arus.

“Dia kemudiannya ditahan polis di Kilometer (KM) 14.2, berhampiran KampungTeluk, Sungai Dua.

“Tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan berlaku akibat daripada perbuatan pemandu terbabit,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian terbabit boleh datang ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU di talian 04-5757946.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial berdurasi satu minit 13 saat memaparkan sebuah van sekolah dipandu secara lawan arus di BORR. -https://amiminerals.org/