PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengenakan tindakan tegas dengan memberhentikan kontrak kontraktor dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak yang didakwa tidak mematuhi piawaian menu dan kebersihan yang telah ditetapkan.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya juga akan mengheret kontraktor berkenaan ke mahkamah ekoran mencetuskan risiko kesihatan kepada penghuni institusi pendidikan tersebut sehingga berlakunya kejadian keracunan makanan.
“Saya tidak peduli kabel sebesar mana sekalipun, kalau melibatkan soal keselamatan dan kesihatan anak-anak pelajar MRSM, tindakan tegas akan diambil.
“Saya telah mengarahkan Bahagian Undang-undang Mara untuk segera ambil dewan selera menamatkan perkhidmatan kontraktor Dewan MRSM Taiping dan mengambil tindakan undang-undang termasuk saman terhadapnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, tindakan tegas itu adalah sebagai satu isyarat kepada kontraktor-kontraktor dewan selera yang lain agar tidak mengambil pendekatan sambil lewa dalam menguruskan dewan selera.
Terdahulu, Asyraf Wajdi mengadakan lawatan mengejut ke MRSM Taiping bagi meninjau keadaan penyediaan makanan berikutan seramai 31 pelajar mengalami keracunan sehingga dikejarkan ke hospital pada 30 Ogos lalu.
Dalam ‘terjahan’ tersebut, beliau memaklumkan bahawa terdapat pelajar mendakwa kejadian sama pernah berlaku tahun lalu mengakibatkan sehingga 50 murid terkesan akibat keracunan makanan.
“Keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap yang tidak memuaskan. Ada pelajar berkongsi kepada saya gambar-gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga di dalam hidangan yang amat mendukacitakan saya,” katanya. – https://amiminerals.org/