JOHOR BAHRU – Seorang jururawat wanita bukan sahaja bertepuk sebelah tangan malah hatinya hancur ditipu cinta palsu seorang lelaki.
Malang berganda buat gadis berusia 24 tahun itu apabila wang simpanannya RM40,000 lesap dikebas ‘scammer’ yang menyamar untuk menjadi teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa mula mengenali suspek pada 22 Februari lalu menerusi aplikasi temu janji Red Note.
Menurut beliau, suspek dan mangsa kemudian bersetuju untuk bertemu di sekitar bandar raya ini selepas tujuh hari berkenalan.
“Bagaimanapun, suspek memberitahu dia memerlukan jaminan untuk membolehkannya keluar daripada tempat kerja bagi bertemu dengan mangsa.
“Terpedaya dengan perkara itu, mangsa membuat tiga kali pembayaran kepada tiga akaun berbeza melibatkan wang berjumlah RM40,000,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, selepas mangsa membuat pembayaran tersebut, suspek masih meminta tambahan wang sebelum bersetuju untuk bertemu.
“Akibat perkara itu, mangsa menyedari telah ditipu dan mengambil keputusan membuat laporan polis. Sehubungan itu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingat agar tidak mudah terpedaya janji manis mana-mana pihak yang baharu dikenali dan lebih berhati-hati apabila melibatkan urusan transaksi kewangan,”jelasnya.-https://amiminerals.org/