BANDAR BAHARU – Dadah sintetik dan bahan khayal yang tampil dalam pelbagai nama serta bentuk termasuk di dalam cecair vape menjadi ancaman baharu kepada golongan pelajar ketika ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyalahgunaan bahan terlarang itu kini lebih kepada dadah sintetik, berbanding jenis konvensional.
“Dadah yang menjadi ancaman baharu kepada kita sekarang bukan dadah konvensional tetapi dadah sintetik yang tampil dalam pelbagai bentuk dan nama. Ia sangat dinamik kerana (dibuat) di ‘makmal’, ia boleh dibuat ujian segala macam.
“Dalam banyak dadah sintetik yang dihasilkan, ia ada ciri persamaan iaitu keaslian sangat tinggi. Maknanya bahan yang memberikan kepada ‘kick’ itu sangat tinggi,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Anti Dadah di Sekolah peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, di sini hari ini.
Kata beliau, pihak berkuasa dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai keupayaan untuk mengesan kandungan dadah dan bahan di dalam vape.
“Dalam pindaan Akta Anti Penagih Dadah itu kita masuk, ia memberikan kuasa kepada menteri untuk menyenaraikan (bahan dan dadah). Mesti ada beza penyalahgunaan dadah dan penyalahgunaan bahan, dadah itu memang dadah terlarang (sementara) penyalahgunaan bahan ini apabila diambil tanpa preskripsi daripada pegawai perubatan, dicampur aduk segala macam,”ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan penggunaan dadah dalam kalangan orang muda termasuk pelajar tidak hanya tertumpu kepada pil kuda dan ganja, malah dadah jenis magic mushroom yang boleh diperoleh pada harga serendah RM1 turut menjadi kegilaan golongan itu.
Di Kangar, pada Rabu lalu, seorang pelajar tingkatan dua yang dipercayai khayal selepas menghisap vape terjatuh dari bumbung tingkat satu bangunan sebuah sekolah menengah. – https://amiminerals.org/