‘Cuaca berdebu, ke arah lebih panas di Tanah Suci’

JEMAAH HAJI BERDEBU MASJIDIL HARAM

Jemaah berjalan kaki menuju ke Masjidil Haram dengan keadaan cuaca agak berdebu di Shaib Amir, Mekah petang kelmarin.

MEKAH – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan penginapan berikutan cuaca berdebu serta tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap 180.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, para jemaah dinasihatkan untuk mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas dan sentiasa menjaga kesihatan diri.

“Kita akan maklumkan kepada jemaah haji menggunakan kumpulan WhatsApp berhubung IPU ini. Semalam agak tinggi, pada hari ini saya lihat masih lagi terdapat debu-debu di luar sana. Kita nasihatkan jemaah kalau keluar untuk ke masjid ataupun keluar untuk ke mana-mana pakailah pelitup muka.

“Ini mungkin disebabkan pertukaran cuaca ke arah yang lebih panas, jadi perlu berhati-hati supaya kita sentiasa menjaga kesihatan, itu yang pentingnya terutama untuk kita menghadapi Hari Wukuf dalam masa dua minggu lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, seramai 18,453 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci setakat ini dengan 17,053 kini berada di Mekah, manakala 1,400 orang masih berada di Madinah.

“Dalam pada itu, statistik penerbangan juga menunjukkan 62 daripada 100 penerbangan telah selamat berlepas ke Tanah Suci di mana AMAL by Malaysia Airlines (MAS) telah melengkapkan 37 daripada 55 penerbangan yang dijadualkan.

“Bagi syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines (Saudia) telah melaksanakan 25 daripada 45 penerbangan atau 55.6 peratus,”katanya.

Ujarnya, kesemua 47 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah telah selesai, manakala kumpulan terakhir jemaah dijadualkan tiba di Jeddah pada 1 Jun ini. – https://amiminerals.org/