CHERY, jenama automotif dari China memiliki sejarah yang berwarna-warni dalam usahanya menembusi pasaran Malaysia.
Perjalanannya bermula pada awal tahun 2000 apabila ia memperkenalkan beberapa model yang dilihat berjaya menarik perhatian segmen tertentu di sini, terutama dalam kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) menerusi penawaran harga mampu milik.
Namun, cabaran utama dihadapi Chery ketika itu ialah reputasi dan kebolehpercayaan kenderaan dari China yang masih dianggap rendah oleh pengguna tempatan, sehingga memaksanya menghentikan operasi di sini buat sementara.
Pada masa sama, di peringkat global, Chery terus meningkatkan kualiti produk serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk dalam teknologi, enjin, reka bentuk, teknologi hijau, kenderaan elektrik dan bateri.
Usaha tersebut membuahkan pertumbuhan pesat.
Tahun ini, ia mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport kenderaan penumpang terbesar di China buat tahun ke-21 berturut-turut, mengeksport sejumlah 829,000 unit untuk tempoh sembilan bulan pertama di 114 pasaran.
Selain itu, syarikat turut membuat penampilan sulung dalam senarai ranking Fortune Global 500 dengan menduduki tempat ke-385 pada Ogos lalu, dengan hasil AS$39.0917 billion (RM169.5 bilion).
Di Malaysia, Chery kembali pada 2023 dengan mencatatkan jualan sebanyak 4,501 unit dan mengumumkan komitmen pelaburan berjumlah RM1 bilion di sini, termasuk pembangunan kilang pemasangan tempatan (CKD) di Shah Alam dengan kos RM125 juta yang telah mula beroperasi pada Jun 2024.
Ia menandakan perubahan berani berbanding strateginya masa lalu, dengan memilih untuk membuat kemasukan sendiri, mengelak kebergantungan kepada pengedar.
Wartawan Kosmo! bersama media dari Malaysia baru-baru ini berpeluang mengikuti Sidang Kemuncak Pengguna Antarabangsa Chery 2024 di ibu pejabatnya di Wuhu, China dan menemu bual Presiden Chery International, Zhang Guibing mengenai perancangannya di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.
KOSMO!: Apa strategi utama yang memacu transformasi Chery untuk mencapai ranking Fortune Global 500?
ZHANG: Cara Chery bertambah baik pertama sekali ialah dengan teknologi baharu, ini merupakan asas bagi kami. Kedua, kami menggunakan pasukan berbeza yang mengkhususkan kepada kumpulan pelanggan berbeza, jadi mereka benar-benar dapat memahami kehendak dan mendapat kepercayaan pelanggan dengan lebih mudah.
Selain itu, kami bersifat global dan mahu bertapak kukuh di pelbagai pasaran. Di Malaysia misalnya, kami bukan sekadar menjual kereta malah membuka kilang, membangunkan kandungan tempatan dan mahu mengeksport ke negara lain.
Keempat berkenaan tanggungjawab sosial korporat, kami banyak bekerjasama dengan pelbagai organisasi di negara berbeza untuk menyumbang kepada komuniti tempatan. Kami juga melihat lebih jauh kepada lima, 10 tahun ke hadapan dan membangunkan teknologi baharu seperti robotik dalam persediaan menghadapi peralihan sekiranya jualan kenderaan merosot pada masa akan datang.
Apa perancangan untuk berkembang di pasaran Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia?
Hari ini secara umumnya, setiap negara ASEAN memiliki polisi berbeza. Kini kami memiliki kilang di Indonesia, Malaysia dan Thailand. Kami merasakan setiap pasaran mempunyai minat berbeza, di Malaysia misalnya pengguna sukakan kenderaan yang sedikit besar dan di Indonesia, mereka gemar MPV dan kenderaan lebih kecil.
Bagi setiap pasaran kami cuba mengeluarkan model berlainan dan sekiranya sesebuah model itu dibuat di Malaysia, kami tidak akan menghasilkan model sama di negara ASEAN lain. Untuk model yang popular di Malaysia kami akan menghasilkannya di Malaysia, dan mengeksportnya ke pasaran lain.
Dengan ini kami tidak hanya menggembirakan pelanggan, malah kerajaan. Kami juga ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat R&D untuk pasaran pemanduan sebelah kanan.
Apakah jangkaan trend utama di pasaran Malaysia pada 2025 dan bagaimana Chery berdepan dengan trend ini?
Saya rasa sekarang terlalu banyak jenama kereta China diperkenalkan di Malaysia. Ada yang bagus dan ada yang lebih kecil. Memahami pasaran bukan tugas mudah, kami telah berada di Malaysia untuk lebih sedekad sebelum ini namun terpaksa keluar.
Kali ini kami ambil pendekatan secara berfasa, langkah demi langkah. Kami faham keperluan untuk menghormati pasaran dan kadangkala, ada syarikat yang masuk tetapi tidak faham dengan persekitaran serta budaya di pasaran berbeza dan kami pasti mereka akan berdepan masalah pada masa depan.
Sekarang rakyat Malaysia mungkin tidak begitu mengenali perbezaan jenama-jenama ini. Sekiranya terlalu banyak jenama yang masuk dan keluar dalam jangka masa pendek, ia mungkin mendatangkan pandangan buruk terhadap jenama dari China.
Ini memberi tekanan kepada Chery kerana kami benar-benar mahu bertapak di Malaysia. Kami berharap dengan membawa media ke sini anda lebih memahami jenama kami dan melihat perbezaan antara Chery dengan yang lain.
Boleh kongsikan mengenai perkembangan pelaburan di Malaysia?
Sejak kembali tahun lalu, kami berjaya merekodkan perkembangan baik dan kami akan terus melabur di Malaysia. Pada masa terdekat kami bakal mengumumkan projek besar di Malaysia namun bukan sekarang kerana ia masih dalam peringkat perbincangan. Ia juga bagi memenuhi keperluan peraturan untuk CKD dan lain-lain.