SEBERANG PERAI – Wanita warga emas yang maut akibat ditikam anak saudara lelakinya dengan gunting semalam disifatkan sebagai seorang yang baik hati dan peramah oleh penduduk Kampung Gelung Bubu, Butterworth di sini.
Perkara tersebut dikongsikan oleh salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli,50-an kepada wartawan Kosmo! ketika bertemu di Pekan Darat, sebentar tadi.
Menurutnya, dia mengenali mangsa dengan panggilan Che Dah, 80-an dan kerap kali terserempak dan bertemu ketika pergi ke kedai berhampiran.
“Sebelum ini, arwah kerap ke kedai dengan menaiki basikal dan setiap kali terserempak, kami akan berbual bertanya khabar memandangkan dia tinggal sendirian di Kampung Gelung Bubu.
“Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini dia kurang sihat dan hanya memesan barangan yang selalunya akan dibeli oleh anak saudaranya. Sejujurnya, saya dan para penduduk terkejut dengan kejadian yang menimpanya dan tidak sangka dia sudah tiada,” katanya di sini.
Difahamkan, jenazah Che Dah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Darat selepas solat Isyak malam semalam. – Iteenews