Cedera tak halang pertahan juara dunia

Farah Mazlan 1

FARAH

PESILAT negara, Nor Farah Mazlan sekali lagi membuktikan keunggulannya di arena antarabangsa apabila berjaya mempertahankan gelaran juara dunia pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Pesilat berusia 26 tahun itu bertanding kategori tanding 50 kilogram (kg) mengakui, laluan untuk mempertahankan kejuaraan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah terutama apabila berdepan tekanan tinggi dan kecederaan yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya sangat bersyukur dapat mempertahankan gelaran ini. Tekanan kali ini agak tinggi, bukan hanya kerana kecederaan tetapi juga kerana saya perlu mengekalkan reputasi sebagai juara.

“Saat wasit mengumumkan kemenangan, saya rasa sangat lega kerana dapat menunaikan tanggungjawab ini untuk negara,” kata pesilat dari Kota Belud, Sabah itu.

Kejuaraan kali ini turut menyaksikan cabaran daripada pesilat muda berbakat dari serata dunia dan Farah mengakui situasi itu menuntut persiapan lebih rapi pada masa hadapan.

“Lawan-lawan kali ini banyak muka baharu yang mempunyai kelebihan fizikal dan semangat tinggi. Saya perlu menggandakan usaha untuk kekal di tahap terbaik kerana persaingan semakin sengit,” katanya.

Bukan hanya kejayaan peribadi, Farah turut berbangga dengan pencapaian keseluruhan skuad negara yang berjaya membawa pulang enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa kategori senior, manakala skuad remaja meraih lima emas, empat perak dan empat gangsa.

Mengulas sasaran selepas ini, Farah menyatakan hasratnya untuk terus mengekalkan prestasi terbaik di pentas antarabangsa.

“Fokus saya untuk memastikan saya berada di tahap tertinggi dan memberikan yang terbaik buat negara dalam setiap kejohanan,” katanya.