Bunyi kuat, saksi dengar laungan Allahuakbar serta tangisan

WhatsApp Image 2025 05 13 at 2.19.48 PM

Keadaan trak FRU (kanan) dan lori muatan pasir yang terlibat kemalangan di Jalan Chikus-Sg. Lampam di Teluk Intan yang terlibat kemalangan pagi tadi.

TELUK INTAN – Bunyi dentuman kuat, laungan Allahuakbar dan tangisan menyayat hati dalam tragedi nahas membabitkan dua lori yang mengorbankan lapan orang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus – Sungai Lampam di sini pagi tadi.

Seorang saksi, Noor’ Ain Asyiqin Abdul Khalel, 39, berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi itu, situasi yang pada awalnya panik bertukar sayu apabila rakan-rakan sepasukan cuba menyelamatkan mangsa.

“Saya dengar bunyi rintihan, jeritan dari rakan-rakan mangsa. Saya sendiri sebak bila dengar mereka teriak dan jerit ‘Allahuakbar’.

“Situasi sangat kelam kabut. Jalan mula sesak, tiada siapa dapat kawal lalu lintas waktu tu,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Katanya, semasa kejadian yang melibatkan kenderaan FRU dengan sebuah lori muatan batu itu berlaku, dia sedang memasak di restorannya yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Ujarnya, lori muatan batu terbabit yang menuju ke arah Teluk Intan tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum bertembung dengan lori FRU yang datang dari arah bertentangan.

Seorang lagi saksi, Airul Amri Abd. Hamid, 31, yang tiba di lokasi beberapa minit selepas kejadian berlaku berkata, bahagian depan kenderaan FRU remuk teruk dengan pemandu serta kelindannya tersepit.

Katanya, orang awam yang berada di lokasi kejadian hanya mampu membantu sekadar termampu sebelum bomba dan ambulans sampai.

“Sangat-sangat pilu dan menyedihkan. Dengar rintihan mereka yang cedera di dalam, ada darah mengalir. Saya tak akan lupa apa saya lihat hari ni,” katanya.

Beliau berkata, jalan berkenaan sememangnya kerap berlaku kemalangan berikutan kewujudan simpang keluar masuk ke jalan utama.

Katanya, ini merupakan kejadian paling tragik yang pernah dilihatnya.

“Sebelum ni pun ada kemalangan, tapi jarang melibatkan kematian. Kali ini betul-betul tragik.

“Apabila kita dengar jeritan dan lihat keadaan anggota FRU itu, hanya Tuhan tahu perasaan kami yang menyaksikan,”katanya. – https://amiminerals.org/