Bumbung tercabut selepas lima minit dilanda ribut – Penduduk

WhatsApp Image 2025 04 14 at 6.47.00 AM

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tiga dari kiri) mengunjung kediaman Rosnani (kanan) yang rosak akibat ribut di Kampung Pak Derus, Taiping semalam. – Foto WAT KAMAL ABAS

BUKIT GANTANG – “Pada mulanya saya dengar angin kencang sebelum bumbung rumah bergegar, tak sampai lima minit ia sudah tercabut.”

Itu kata seorang penduduk di Kampung Pak Derus di sini, yang menjadi mangsa kejadian ribut di kawasan itu petang semalam.

Rosnani Che Meh, 52, berkata, kejadian tersebut pertama kali berlaku dalam tempoh 32 tahun.

Katanya, dia yang ketika itu berada di rumah bersama cucunya menyaksikan sendiri bumbung kediamannya itu tercabut akibat angin kencang.

“Saya yang ketakutan mendukung cucu berusia empat bulan dengan erat, namun tak dapat keluar dari rumah kerana angin kencang masih bertiup di luar,”katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ribut tersebut melanda kira-kira pukul 4 petang dan Taman Damai, Taman Ria serta Taman Kaya di sini turut terjejas.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Hayati Mohamad, 49, berkata, dia sendiri menyaksikan bumbung rumah jirannya tercabut diterbangkan angin kencang.

Katanya, dia segera menjerit memanggil ayahnya supaya keluar dari dalam bilik, namun gagal berbuat demikian kerana angin kencang menyebabkan pintu bilik tidak dapat dibuka akibat tekanan.- https://amiminerals.org/