Bulan Menabung Simpan SSPN 2024 raih kutipan lebih RM250 juta

LOGO PTPTN

PTPTN

PETALING JAYA – Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meraih kutipan berjumlah RM256.18 juta berbanding sasaran awal sebanyak RM220 juta.

Difahamkan, ia merupakan tahun ketujuh BMS dianjurkan bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pencapaian itu mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

“BMS merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN sejak tahun 2018 bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan,”katanya hari ini.

Menurutnya, sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan yang disertai oleh ibu bapa dan anak-anak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Norliza berkata, pengajuran BMS tahun ini jelas menunjukkan PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited dalam usaha memacu perancangan kewangan jangka panjang untuk tujuan pendidikan tinggi.

“Berdasarkan kejayaan kutipan deposit Simpan SSPN melalui BMS 2024 yang melebihi sasaran, menunjukkan setiap strategi yang dirangka mendapat sokongan padu masyarakat Malaysia.

“Hal ini membuktikan ibu bapa semakin cakna dengan pengurusan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak dalam melahirkan generasi modal insan yang berkualiti tinggi,”ujarnya. – https://amiminerals.org/