\’Bukan senang, saya orang Borneo\’ – Wajah Marsha terpampang di AS

WhatsApp Image 2025 04 19 at 11.06.55

Marsha berasa terharu wajahnya terpampang di papan iklan billboard Times Square, Amerika Syarikat.

PETALING JAYA – Terharu impian menjadi realiti selepas wajah terpampang di papan iklan billboard Spotify di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) mengingatkan penyanyi Marsha Milan cabaran ketika mula bertapak di arena muzik.

Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 39, berkata, bukan mudah buatnya untuk sampai ke tahap ini apatah lagi sebagai penyanyi wanita dari Borneo.

“Melihat diri saya di papan iklan di Times Square, New York adalah sesuatu yang melebihi segala impian saya.

“Sebagai seorang penyanyi wanita dari Borneo, perjalanan ini tidak selalu mudah, tapi momen seperti ini mengingatkan saya kenapa saya bermula.

“Terima kasih #SpotifyEQUAL kerana membenarkan saya menjadi sebahagian daripada kempen ini dan terima kasih Spotify Asia kerana mengangkat suara kami ke peringkat dunia,”katanya dalam hantaran Instagram.

Pada masa sama, penyanyi Hening Rindu itu turut menyuntik kata-kata semangat kepada rakan seperjuangan lain dalam industri muzik agar terus menyuarakan karya mereka.

“Kepada semua wanita dalam muzik, suara anda sangat bermakna dan kita perlu dengar lebih banyak lagi,”kongsi anak seni kelahiran Tamparuli, Sabah itu.

Spotify EQUAL ini merupakan inisiatif yang memberi pengiktirafan kepada artis wanita dari seluruh dunia dan memperkasakan suara mereka dalam industri muzik.

Sementara itu, menerusi ruangan komen, ramai rakan industri mengucapkan tahniah kepadanya atas pencapaian yang diraih.

“Menang, nombor syatu (satu),”tulis penyanyi, pelakon dan hos, Elly Mazlein.

“Sangat gembira melihat impian anda jadi kenyataan,”kata pelakon Puan Sri Tiara Jacquelina.

Selain Marsha, antara tempatan yang pernah menghiasi papan iklan digital gergasi itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Yuna, Dolla, Aina Abdul, Kaka Azraff, Layla Sania, Iman Troye, Aisha Retno dan Vanessa Reynauld. – https://amiminerals.org/