HATYAI, Thailand sememangnya menjadi destinasi pelancongan yang tidak asing lagi buat rakyat Malaysia.
Bila tiba musim cuti sekolah dan cuti perayaan, berpusu-pusu rakyat kita menuju ke utara untuk melepasi sempadan Kedah dan Perlis.
Data Jabatan Imigresen Malaysia Kedah baru-baru ini menyatakan seramai 57,003 rakyat Malaysia masuk ke negara Gajah Putih itu menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra hanya dalam tempoh tiga hari.
Hampir 100,000 pelancong dari negara ini memanfaatkan cuti panjang hujung minggu sempena cuti umum hingga berlaku kesesakan di Hatyai.
Rata-rata rakyat kita gemar bercuti di Hatyai kerana mahu menikmati makanan lazat pada harga murah, selain banyak destinasi menarik.
Menurut mereka lagi, kedudukan Hatyai yang terletak berdekatan sempadan menjadi antara daya penarik.
Namun begitu, tidak semua yang bercuti di sana membawa balik memori indah apabila terpaksa berhadapan masalah terutama jika terlibat kemalangan jalan raya tanpa insurans lengkap, selain isu berkaitan makanan halal.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan kesengsaraan seorang rakyat Malaysia yang kerugian RM30,000 selepas terlibat kemalangan di negara itu gara-gara tidak mengambil insurans lengkap.
Rata-rata mereka hanya mengambil insurans wajib atau Compulsory insurance (Ci) tanpa mengetahui perlindungan ditawarkan. Bagi mereka, buat yang wajib saja asalkan dapat masuk.
Menurut aktivis, Abdul Halim Othman, 56, ramai rakyat Malaysia yang memandu di Thailand terlibat kemalangan jalan raya dan terpaksa membayar kerosakan kenderaan puluhan ribu ringgit kerana hanya memiliki Ci yang sekadar membiayai yuran perubatan atau kos hospital serta pampasan kematian.
“Mereka tidak ambil insurans lengkap iaitu Voluntary insurance untuk bayar pampasan kerugian akibat kerosakan kenderaan, Travel insurance perlindungan kos perubatan lebih tinggi dan Extension 101 untuk kos pembaikan kerosakan kenderaan sendiri.
“Ramai tidak tahu tentang keperluan ambil insurans lengkap. Ia sangat penting sedangkan di negara kita pun diwajibkan ambil insurans kenderaan,” katanya.
Dia juga menyelar tindakan beberapa pempengaruh yang memberi panduan kononnya tidak perlu ambil insurans lengkap jika masuk ke Thailand jika mahu makan-makan.
“Janganlah disebabkan terpengaruh dengan maklumat yang tidak bertanggungjawab seperti itu, ramai rakyat Malaysia yang kerugian sehingga terpaksa bergolok gadai untuk membayar pampasan.
“Itu baru kemalangan biasa, jika ada orang Thailand yang maut dalam kemalangan, rakyat kita sememangnya berisiko tinggi dipenjara di sana,” ujarnya.
Sementara itu, bagi isu makanan halal pula, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff menasihatkan rakyat yang bercuti di sana supaya berhati-hati kerana gerai makanan halal dan tidak halal bercampur serta terletak berhampiran.
“Ada juga peniaga muslim yang menjual makanan tidak halal, jadi berwaspada dengan setiap apa yang kita beli. Sistem tanda halal di Thailand tidak sama dengan negara kita yang mana pihak berkuasa agama kita mempunyai peraturan lebih ketat,” tambahnya.
Penulis juga melalui pengalaman kurang enak apabila melihat gerai menjual makanan tidak halal terletak berhampiran gerai makanan halal, selain nyaris termakan roti tidak halal dijual di kiosk peniaga wanita bertudung. Hati-hati melancong ke Thailand. -https://amiminerals.org/