\’Bukan lapar perhatian, tayang badan untuk beri inspirasi\’

Fazziq Muqris

FAZZIQ mengakui bukan mudah untuk mendapatkan bentuk badan yang berotot kerana ia menuntut banyak usaha dan komitmen.

PETALING JAYA – Kerap tayang foto tidak berbaju serta mempamerkan bentuk badan berotot dalam media sosial, pelakon Fazziq Muqris menafikan dakwaan sengaja berbuat demikian kerana lahap perhatian.

Ujar Fazziq atau nama sebenarnya Fazziq Muqris Mohd Shariff, 25, tindakan tersebut bukan bertujuan menunjuk-nunjuk, sebaliknya mahu memberi inspirasi kepada orang lain agar menjaga kesihatan dan kecergasan diri.

“Saya kongsi gambar badan bukan sebab nak menunjuk-nunjuk tetapi nak beri motivasi kepada orang lain.

“Kalau saya boleh capai bentuk badan begini, saya percaya orang lain pun dapat melakukan perkara sama,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon Project: High Council itu juga menegaskan, andai dia memuat naik gambar fizikalnya sebelum mula aktif bersenam, mungkin dirinya menerima lebih banyak kecaman.

“Sekali lagi, saya nak tegaskan, ini bukan sebab nak tunjuk badan. Saya hanya mahu rasa lebih yakin dengan diri sendiri.

“Kalau orang memandang gambar-gambar tersebut, saya berharap mereka lihat dari sudut positif, mungkin sebagai penyuntik semangat untuk mencapai tubuh badan lebih sihat,” jelasnya.

Mengimbau perjalanan transformasi fizikalnya, Fazziq mengakui proses untuk mendapatkan tubuh badan sihat serta berotot bukan sesuatu yang mudah.

Namun, perubahan yang dilaluinya menjadi bukti bahawa sesiapa sahaja mampu mencapai matlamat dengan usaha gigih dan dedikasi.

Fazziq kini menjadi antara pelakon yang diminati ramai, selain sering berkongsi aktiviti kecergasan sebagai inspirasi kepada peminatnya. – https://amiminerals.org/