Bukan kekang bebas suara tetapi penjenayah siber – Fahmi

Fahmi 1

Fahmi berswafoto dengan beberapa pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media yang hadir pada syarahan tersebut di UiTM Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kerajaan menafikan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 akan digunakan sebagai ‘senjata’ bagi menyekat kebebasan bersuara di media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, sebaliknya RUU itu akan memastikan perlindungan kepada seseorang individu daripada menjadi mangsa buli siber.

Katanya, hak kebebasan bersuara telah dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang yang paling tinggi di negara ini.

“Bagaimanapun perlu diingatkan, terdapat beberapa perkara di dalam peruntukan hak kebebasan bersuara di Perlembagaan Persekutuan yang mana ada isu dan perkara yang kita tidak boleh bersuara secara terbuka.

“Niat kita (menggubal RUU Keselamatan Atas Talian 2024) yang paling utama bukan untuk mengekang suara rakyat, sebaliknya mengekang penjenayah siber memanipulasi (sesuatu isu) di media sosial,”katanya selepas program Syarahan Menteri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini, hari ini.

Katanya, RUU juga akan memastikan pengguna media sosial dapat melayari sesebuah media sosial dengan selamat selain mahu syarikat berkaitan lebih bertanggungjawab di atas kandungan maklumat dan hantaran yang diterbitkan.

“Kerajaan akan memastikan RUU tersebut dapat dibaca untuk kali pertama pada sesi Sidang Dewan Rakyat kali ini,”katanya. – https://amiminerals.org/