SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam apabila kaki kirinya tersepit pada bahagian rantai dan roda belakang motosikal di bulatan Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini semalam.
Difahamkan, mangsa berusia 11 tahun bagaimanapun terpaksa ditenteramkan oleh abangnya dan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum kehadiran pasukan bomba, lira-kira pukul 1.54 petang.
Terdahulu, beberapa keping gambar kanak-kanak tersebut tular di media sosial sejak malam tadi dan ada pengguna memaklumkan ternampak mangsa mengerang kesakitan semasa melalui jalan tersebut.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku semasa mangsa membonceng motosikal yang abangnya tunggang sejurus menjemputnya pulang dari sekolah.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Zulkifli Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 1.53 petang dan kemudian bergegas ke tempat kejadian.
“Kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun apabila kaki kirinya dipercayai telah termasuk pada bahagian rantai motosikal dan roda belakang.
“Semasa anggota sampai, mangsa hanya diamkan diri namun dia dilihat berada dalam keadaan menahan kesakitan.
“Anggota mengambil masa kira-kira 15 minit untuk keluarkan kakinya dengan cara membuka bahagian pemijak kaki motosikal,” katanya di sini hari ini.
Beritahu beliau lagi, mangsa mengalami kecederaan serius pada tumit kiri dan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. -https://amiminerals.org/