Budak hampir maut tercekik belon

tercekik belon

Perkongsian Nurul Huda di Facebook mengenai detik cemas apabila dia hampir kehilangan anak lelakinya selepas belon yang belum ditiup tersangkut di saluran penafasan.

PETALING JAYA – Seorang budak lelaki nyaris maut dipercayai tercekik belon ketika bermain bersama rakan-rakannya dalam majlis sambutan hari lahir yang diadakan di rumah keluarganya pada 20 Mei lalu.

Insiden cemas itu dikongsikan Nurul Huda Zulkhairi, ibu kepada kanak-kanak tersebut menerusi Facebook semalam.

Menurut Nurul Huda, kejadian berlaku ketika sambutan hari lahir apabila anaknya, Uwais Al Fateh tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas sebelum tidak sedarkan diri.

“Saya dan suami sedang melayan tetamu, manakala anak bermain-main dengan rakannya. Ketika itu, dia sempat minum air dan kembali sambung bermain lari-lari dalam rumah,” katanya.

Keadaan bertukar cemas apabila adik iparnya dikenali sebagai Zahidah menyedari Uwais menunjukkan tanda-tanda semput memandangkan kanak-kanak tersebut pernah menghidap asma.

“Suami mahu mengambil alat sedut asma. Namun, sejurus selepas itu, seorang lagi adik ipar (Nabil) berlari membawa Uwais dalam keadaan tubuhnya sudah kebiruan dan tidak sedarkan diri.

“Ketika itu, jantungnya telah berhenti,” ujarnya.

Jelas wanita itu, suaminya bersama seorang kenalan cuba memberikan bantuan kecemasan kerana menyangka Uwais tersedak makanan.

“Keadaan sangat kritikal. Suami saya terpaksa memberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut. Kami bergegas ke hospital dan ketika itu peluang Uwais untuk hidup hanya 50-50,” ujarnya.

Cerita Nurul Huda, setibanya di Jabatan Kecemasan Hospital Kulim, pasukan perubatan bertindak pantas sebelum mendapati ada objek asing pada saluran pernafasan kanak-kanak tersebut.

“Ketika proses intubasi, doktor menemui belon tersangkut dalam saluran pernafasannya. Doktor segera mengeluarkan belon itu dan menyambung prosedur penyelamatan. Alhamdulillah, nyawa anak saya berjaya diselamatkan,” katanya.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan pemantauan.

Nurul Huda percaya insiden itu berlaku ketika Uwais bergurau dengan rakannya dengan memasukkan objek tersebut ke dalam mulut sambil berlari menyebabkan belon tersangkut pada saluran pernafasan.

“Anak saya berada dalam keadaan stabil dari segi tekanan darah, denyutan nadi dan paras oksigen, namun masih dalam proses merehatkan otak.

“Uwais masih bergantung dengan alat bantuan pernafasan dan menerima dua beg darah. Terdapat kesan pendarahan pada paru-paru mungkin disebabkan teknik CPR yang dilakukan,” katanya. – https://amiminerals.org/