PASIR MAS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera ditikam bapanya yang dipercayai mengalami gejala kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa ditikam di bahagian perut oleh bapanya yang merupakan guru. Kanak-kanak itu dilaporkan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Moyang mangsa, Mohd. Yusof Sulaiman, 77, berkata, dia tiada di rumah semasa kejadian berlaku kerana keluar bersarapan di sebuah kedai kopi.
Katanya, dia tinggal di sebelah rumah mangsa terkejut melihat bapa kanak-kanak itu berada seorang diri di atas tangga sebaik tiba di rumah.
“Isteri dan lima anaknya tiada di rumah kerana bermalam di rumah ibu bapanya yang terletak 500 meter dari sini. Saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga pihak polis datang ke rumah dan menangkapnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, penduduk kampung dikenali sebagai Ahmad berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas melihat mangsa yang berlumuran darah dibawa keluar dari rumah.
Menurutnya, kanak-kanak itu membonceng motosikal yang ditunggang datuknya sambil bersandar pada dada bapa saudara untuk ke hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, laporan lanjut dalam tindakan pihak polis. – https://amiminerals.org/