KOTA SAMARAHAN – Pemergian Allahyarham Mohammad Ikhmal Sama’ail meninggalkan kesan mendalam bagi bapa mentuanya, Rajuna Saini yang menyifatkan menantunya itu sebagai seorang baik hati dan pemurah.
Rajuna, 59, berkata, perjumpaannya dengan Mohammad Ikhmal, 34, pada Rabu lepas menjadi kenangan terakhir yang tidak akan dilupakan.
“Allahyarham mengajak kami makan di rumah mereka, kemudian Khamis saya ke Beladin tidak berjumpa dengannya.
“Jumaat saya mendengar berita tentang insiden bot karam ini,”katanya yang ditemui pada upacara pengebumian menantunya itu di Tanah Perkuburan Islam Muara Tuang, di sini petang tadi.
Bagaimanapun, Rajuna berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian menantunya itu.
Upacara pengebumian itu turut dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan sekerjanya.
Allahyarham Mohammad Ikhmal merupakan salah seorang mangsa bot regata karam pada Jumaat lepas ketika menjalani latihan di Sungai Sarawak sempena Regata Sarawak pada November depan.
Allahyarham merupakan anak jati Kampung Tanjung Bundong meninggalkan seorang balu selepas enam tahun perkahwinan. – https://amiminerals.org/