Bomba siasat punca sebenar 4 gudang terbakar

gudang terbakar

Keadaan salah satu daripada empat gudang yang terbakar di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah.

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengesan punca sebenar kebakaran empat gudang di Taman Perindustrian SILC, di sini, pagi tadi.

Timbalan Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Muhammad Al-Mustakin Abdul Hady berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bukan berpunca dari salah sebuah gudang penyimpanan kimia yang mempunyai thinner itu.

“Keempat-empat gudang ini merupakan gudang penyimpanan yang dimiliki oleh tiga syarikat berlainan dan kita dapati kebakaran bukan bermula dari gudang mempunyai thinner itu.

“Bagaimanapun, kita akan serahkan kepada pihak forensik untuk menjalankan siasatan sepenuhnya,”katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan tiga warga asing dipercayai pekerja kilang terbabit mengalami kecederaan akibat kejadian kebakaran kilang pada pagi tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Al-Mustakin berkata, kebakaran empat gudang di Taman Perindustrian SILC berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 1.34 petang tadi.

Jelasnya, kebakaran itu setakat ini telah menyebabkan tiga buah gudang musnah sebanyak 80 peratus dan sebuah lagi musnah sebanyak 10 peratus.

“Kami sedang melakukan pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca-punca api kecil yang boleh menyebabkan kebakaran kembali berlaku di lokasi kejadian,”ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat sembilan pekerja berada di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku termasuk tiga warga asing yang cedera.

“Difahamkan ada berlaku letupan kejadian dan mungkin tiga mangsa ini tidak sempat lari dan selebihnya sempat lari,”katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera berusia 30 hingga 40 tahun menerima rawatan di Zon Merah wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. -https://amiminerals.org/.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *