KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan tetap menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu merupakan salah satu daripada garis haluan baharu UMNO.
“Saya bersetuju dengan pandangan rakan-rakan kepimpinan dan ahli di akar umbi bawah dalam pilihan raya yang akan datang kita harus menggunakan lambang (logo) dacing BN.
“Namun, UMNO tidak menolak untuk meneruskan kolabrasi dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak berlaku pertindihan.
“Kerjasama ini mesti dilakukan daripada sekarang kerana kita tidak mahu keserasian itu hanya diwujudkan ketika pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga mahu kepimpinan UMNO di semua peringkat mengambil pengajaran daripada kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Neggiri baru-baru ini.
Menurut Ahmad Zahid, kemenangan itu memberikan satu nada baharu dalam perjuangan UMNO sekali gus menepis telahan bahawa parti itu tidak lagi relevan ataupun ditolak orang Melayu.
“Kerusi yang kita telah kalah dapat tebus semula. Negeri yang dikuasai oleh pembangkang pun tidak dapat mempertahanankan kerusi itu.
“Jika semua pihak bersatu hati menyusun dan menstruktur strategi dengan sebaik-baiknya dan berusaha bersungguh-sungguh, insya-Allah kejayaan pasti memihak kepada kita,” ujarnya.
Kata Ahmad Zahid, setiap pendekatan yang digunakan pada pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) haruslah berbeza mengikut landskap politik setempat.
Sementara itu, menyentuh soal prestasi kepada kerajaan, Ahmad Zahid berkata, kesemua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO telah memperlihatkan prestasi yang baik.
“(Pencapaian) ini terpapar dalam papan iklan di sekitar Dewan Merdeka. Bukan untuk membangga diri tetapi sekadar menjelaskan kepada para perwakilan dan pemerhati dalam PAU, bahawa apabila kami diberikan amanah dan tanggungjawab, kita laksanakan sepenuhnya demi rakyat Malaysia,” tambahnya. – Iteenews