BANGI – Ashley Furniture Homestore melancarkan pembukaan bilik pameran terbaharunya di pusat beli-belah Evo Mall dengan menekankan konsep digital bagi menarik minat pelanggan.
Pembukaan bilik pameran berkenaan menawarkan pengalaman beli-belah yang menarik untuk pelanggan.
Pelbagai produk seperti set bilik tidur, pejabat, rumah dan lainlain dipamerkan di bilik berkeluasan 684 meter persegi itu.
Naib Presiden Jualan (Asia) Ashley Furniture Homestore, Robin Lim Jit Piow berkata, konsep di bilik pameran itu merupakan ciri-ciri terbaharu seperti penggunaan katalog digital bagi
memudahkan pelanggan melihat perabot secara lebih mudah.
Katanya, bilik pameran berkenaan sebelum ini beroperasi di Bangi Sentral sejak tujuh tahun lalu sebelum berpindah ke lokasi terkini.
“Hiasan dalaman direka bentuk ringkas, namun dihiasi dengan menarik untuk membolehkan perabot menjadi hiasan utama.
“Bilik pameran sebelum ini kita menggunakan konsep 6.0, tetapi kali ini kita naik taraf kepada konsep 7.0 iaitu menekankan teknologi,” katanya.
Menurut Jit Piow, penggunaan teknologi digital akan mengurangkan kos dan lebih interaktif dengan pelanggan.
Tambahnya, setakat ini pihaknya mempunyai empat bilik pameran iaitu tiga di Lembah Klang dan satu di Pulau Pinang.
“Bilik pameran berkonsep baharu ini membolehkan kami sentiasa dekat serta menyediakan pengalaman bertaraf dunia kepada pelanggan,” ujarnya. – Iteenews