GUA MUSANG – Seekor beruang matahari yang dipercayai ‘meragut’ nyawa seorang buruh bulan lalu akhirnya masuk perangkap dipasang di Kampung Dalam Seduk di sini oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Beruang yang diburu sejak 9 September lalu itu disedari masuk perangkap dipasang di kawasan kebun yang dipercayai menjadi lokasi mangsa diserang kira-kira pukul 8 pagi.
Tangkapan itu seterusnya melegakan lebih 3,000 penduduk Kampung Jerek di sini yang terganggu angkara ancaman beruang matahari.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Abd. Razak Ramli, berkata, kejadian itu disedari penduduk kampung yang mendengar bunyi beruang ketika ingin ke kebun.
“Saya dimaklumkan seorang penduduk kampung bahawa beruang terbabit sudah masuk perangkap.
“Penduduk melihat pintu perangkap sudah tertutup dan terdapat seekor beruang sedang meronta-ronta dan mengeluarkan bunyi kuat. Kami lega walaupun tidak pasti sama ada ia beruang sama yang menyerang penduduk sehingga maut,” katanya semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki parah selepas diserang seekor beruang semasa keluar memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek dekat Gua Musang pada 8 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, kepala Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, terkoyak selain kaki, betis dan matanya luka akibat dicakar haiwan tersebut.
Muhamad Zaki kemudian menjalani pembedahan dan meninggal dunia selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar USM (HPUSM), Kubang Kerian.
Dalam pada itu, Abang mangsa, Muhamad Zainal, 35, berkata, pihaknya percaya beruang berkenaan adalah binatang yang sama menyerang adiknya, Muhamad Zaki
“Kejayaan ini merupakan khabar yang dinanti-nantikan keluarga dan penduduk kampung kerana selepas tragedi itu kami takut untuk keluar bekerja di kawasan hutan selain berdoa agar haiwan itu pergi jauh serta tidak lagi menyerang penduduk.
“Kami percaya ini adalah beruang yang sama menyerang adik, tetapi apa pun kita tunggu keputusan daripada siasatan Perhilitan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Kampung Jerek, Wan Zahari Wan Harun, berkata, usaha Perhilitan memasang perangkap lebih sebulan akhirnya membuahkan hasil, namun penduduk masih perlu berhati-hati.
“Kami sebelum ini tertekan dan risau jika terserempak dengan haiwan terbabit ketika ke kebun.
“Keyakinan kami untuk pergi ke kebun sudah kembali, namun kami masih perlu berhati-hati kerana bimbang ada beberapa ekor beruang lagi yang masih berkeliaran,” ujarnya.