GUA MUSANG – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lebih terperinci berhubung kes rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ku Li berkata, beliau yakin siasatan itu akan dilakukan secara telus sebelum kes tersebut dikemukakan kepada mahkamah.
“Kita tidak tahu beliau (Ismail Sabri) terlibat secara langsung atau dilibatkan oleh mereka dengan tujuan politik. Kes ini memang memberi kesan kerana sebelum ini rakyat telah mendengar kes melibatkan bekas Perdana Menteri yang dahulu, menteri dan pegawai kanan kerajaan.
“Kes pertama dan kedua (kes Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi) sudah beri kesan yang buruk kepada rakyat dan parti (Barisan Nasional). Kita harap keadaan jadi reda tetapi tiba-tiba kes ini pula timbul. Kita mahu pertahan atau tidak pun susah. Kita tunggu keputusan SPRM,” katanya selepas Majlis Iftar UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah melibatkan Ismail Sabri. – https://amiminerals.org/