Beras tempatan sudah lama tak singgah Pontian

JHR BERAS PELIK

SEORANG pengguna melihat beras putih import yang memenuhi ruang jualan di sebuah pasar raya di Pontian semalam.

PONTIAN – Rata-rata pengguna di daerah ini hairan apabila beras putih tempatan tiada di pasaran dan terpaksa membeli beras import untuk kegunaan harian.

Tinjauan di sebuah pasar raya di sini mendapati, hanya beras putih import memenuhi ruang jualan sehingga menyebabkan pengguna tiada pilihan terpaksa membelinya.

Seorang pengguna, Mohamed Marskin, 70, meminta isu itu di­atasi segera kerana orang ramai terpaksa membeli beras import dengan harga lebih tinggi berbanding beras putih tempatan.

“Jika dahulu pengguna dapat membeli beras putih tempatan dengan harga RM26 sekampit tetapi kini terpaksa membelinya beras putih import dengan harga RM33 kerana tiada pilihan lain.

“Kami bingung sekarang ini ke mana hilangnya beras tersebut, pengguna juga hadapi kenaikan harga barangan keperluan yang lain, isu ini pula berlaku.

“Kasihan mereka yang mempunyai tanggungan dan ahli keluarga ramai terpaksa beli beras dengan harga lebih tinggi,” kata­nya di sini semalam.

Menurut Habidah Tamrin, 79, pula, dia terpaksa membeli beras putih import kerana nasi merupakan makanan wajib setiap hari.

“Nak buat macam mana, hari-hari kita kena makan nasi, takkan nak makan ubi sebagai ganti nasi, mahal harganya kami terpaksa juga beli,” jelasnya.

Seorang penyelia sebuah pasar raya di Pontian mendakwa, pihaknya tidak menerima bekalan beras putih tempatan sejak hampir empat bulan lalu.

“Tiada lagi bekalan dihantar sejak empat bulan lalu dan pengguna merungut kerana mereka terpaksa beli beras putih import yang lebih mahal,” ujarnya.

Baru-baru ini bekalan beras putih tempatan diramal kembali berada di pasaran susulan penurunan harga beras putih import di Semenanjung.

Harganya turun daripada RM3,000 per tan kepada RM2,800 per tan bermula 1 Disember lalu.

Ia juga selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia. – https://amiminerals.org/