Bendahari Bersatu Pahang umum keluar parti

InCollage 20241101 184834426 scaled

ROSLAN

PUTRAJAYA – Bendahari Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Roslan Hassan mengumumkan keluar daripada parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Roslan dalam masa sama turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang dan Bendahari Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang.

Katanya, tindakan peletakan jawatan itu kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan tertinggi parti yang dilihat gagal menguruskan parti, curang, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.

Pada masa sama, ujarnya, ia rentetan daripada penggantungan Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong pada 24 September lalu tanpa sebab dan alasan kukuh.

“Saya mengandaikan penggantungan ini kerana saya menyuarakan tidak bersetuju dengan beberapa pertukaran dan pindaan yang dibentangkan pimpinan tertinggi parti di Konvensyen Bersatu Peringkat Nasional pada 13 Julai lalu.

“Pindaan itu bercanggah dengan Peraturan Persidangan Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan yang asal. Maka bagi menutup suara kami, tiada jalan lain melainkan menggantung Jawatankuasa Bahagian Bentong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan memaklumkan, pihaknya turut menerima surat memaklumkan penetapan tarikh-tarikh Persidangan Cawangan, Sayap dan Bahagian bagi Bahagian-Bahagian yang tidak terlibat dengan pemilihan 26 Oktober dan 2 November yang mana Bahagian Bentong adalah satu daripada bahagian-bahagian tersebut.

Jelasnya, beliau membalas surat berkenaan dengan menerangkan bahawa sepatutnya Bahagian Bentong tidak perlu lagi menjalankan persidangan cawangan-cawangan kerana yang digantung adalah Jawatankuasa Bersatu Bahagian Bentong bukannya Bersatu Bahagian Bentong.

“Ini sekali lagi memperlihatkan pimpinan tertinggi tidak cermat, tidak teliti seta gagal memahami keputusan yang telah dibuat oleh mereka sendiri.

“Kegopohan dan keputusan secara semberono ini dibuat kerana didorong oleh kehendak dan hasrat mengetepikan mereka yang tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi.

“Ia serta cubaan secara curang bagi menaikkan mereka yang mengikut telunjuk kepimpinan meskipun telah terang-terangan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti,” ujarnya. – https://amiminerals.org/