KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan peranan strategik belia ASEAN dalam pembangunan serantau.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, golongan belia bukan sahaja diiktiraf sebagai penerus masa depan, tetapi sebagai rakan sejajar dalam merangka dasar dan hala tuju negara.
“Melalui sesi libat urus bersama delegasi belia ASEAN telah ditekankan bahawa aspirasi, semangat dan ketahanan mereka merupakan penggerak utama kemajuan rantau ini.
“Belia merupakan aset terpenting ASEAN dalam menangani cabaran global seperti akses pendidikan berkualiti, kesaksamaan peluang pekerjaan, kesan perubahan iklim serta transformasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI),”katanya dalam satu kenyataan.
Hannah berkata, Rangka Kerja Pelan Tindakan Belia ASEAN telah dijadikan panduan utama bagi memastikan isu-isu kritikal belia diberi perhatian melalui kerjasama serantau.
“Sebagai penegasan, Kerajaan Madani menolak sebarang naratif yang meminggirkan peranan belia.
“Sebaliknya, kami kekal komited untuk mewujudkan ruang setara bagi mereka di semua peringkat pembuatan keputusan akan diberi keutamaan,”katanya.
Semalam, beliau bersama Perdana Menteri dan para pemimpin ASEAN menyertai sesi libat urus bersama delegasi belia ASEAN sempena Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – https://amiminerals.org/