PETALING JAYA – Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai usaha kerajaan mengimbangi keperluan rakyat menjelang tahun hadapan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah-langkah dalam Belanjawan 2025 juga dilihat memberi fokus kepada isu kos sara hidup apabila kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion tahun ini.
“Selain itu, dasar gaji minimum serta dasar gaji progresif akan memastikan gaji para pekerja terus dapat ditingkatkan seiring dengan tahap produktiviti negara.
“Peluasan cukai jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pengenalan cukai ke atas dividen dijangka dapat memastikan pengurangan defisit fiskal pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kerajaan Madani terus mengambil berat dalam pendekatan memastikan defisit fiskal negara dikurangkan secara beransur-ansur sekali gus membuktikan bahawa pihaknya mementingkan aspek displin kewangan demi keselesaan rakyat.
“Pada masa yang sama, kerajaan sentiasa membela nasib rakyat dengan saksama dan inklusif dengan dasar ekonomi yang membantu dalam meningkatkan kuasa beli rakyat seperti STR, SARA serta bantuan awal persekolahan,”ujarnya.
Terdahulu, Belanjawan 2025 sekali lagi melakar sejarah baharu apabila menyediakan peruntukan tertinggi iaitu RM421 bilion menerusi belanjawan ketiga Kerajaan Madani meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan serta tidak termasuk RM2 billion simpanan luar jangka. – https://amiminerals.org/