Bekas pengasuh taska dipenjara, denda dera anak asuhan

f der

Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang bekas pengasuh sebuah taska dipenjara enam bulan dan didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak asuhannya yang berusia tujuh bulan, empat tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Saidatul Syafinaz Saadan, 27, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, tertuduh dikehendaki menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh 12 bulan dan dikenakan bon berkelakukan baik dengan cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin di bawah Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sekiranya tertuduh gagal membayar bon tersebut, boleh dihukum penjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan mendera sehingga mendatangkan kecederaan fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh bulan ketika kejadian.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 6.30 petang di sebuah taska di Garden Avenue Seremban 2, Seremban pada pada 24 Ogos 2020.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.- https://amiminerals.org/