ALOR SETAR – Seorang bekas pegawai khas kepada mantan perdana menteri diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini berkaitan kes meminta dan menerima rasuah daripada pendakwah selebriti.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu hadir di pejabat SPRM bagi tujuan tersebut pada semalam dan selesai memberi keterangan pada pagi ini.
Menurut sumber, keterangan diambil bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Kosmo! pada kelmarin melaporkan, seorang aktivis politik bersama dua lagi lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah daripada seorang pendakwah selebriti.
Perbuatan itu disyaki dilakukan bagi membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram membabitkan pendakwah terbabit.
Siasatan awal mendapati kesemua mereka bersubahat meminta wang sebanyak RM150,000, namun hanya menerima RM20,000 daripada pendakwah selebriti itu. – https://amiminerals.org/