Bekalan air di Johor Bahru pulih sebelum tengah hari

BEKALAN AIR LEBUH RAYA PASIR GUDANG JOHOR BAHRU

Mohamad Fazli meninjau kerja pembaikan paip pecah di sebelah Lebuh Raya Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU – Masalah bekalan air yang membelenggu puluhan ribu penduduk di beberapa kawasan di sekitar daerah ini dijangka berakhir sebelum 12 tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerja-kerja pembaikan paip pecah di sebelah Lebuh Raya Pasir Gudang itu hampir siap sepenuhnya.

Katanya, kejadian paip pecah 1,200 milimeter (mm) dan 600mm sedalam tujuh meter dalam keadaan cuaca hujan memberikan cabaran untuk kerja-kerja pembaikan ini dilakukan segera.

“Alhamdulillah, kerja-kerja pembaikan dijangka selesai dalam tempoh beberapa jam lagi dan air secara perlahan-lahan akan mengalir memenuhi tangki-tangki rumah sekitar Taman Johor Jaya, Mount Austin dan Taman Daya.

“Dijangka dalam tempoh sebelum tengah hari, pengguna akan menerima bekalan air,”katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini. – https://amiminerals.org/