Beberapa dewan selera MRSM gagal patuhi aspek kebersihan dalam radar Mara

Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI

IPOH – Pengerusi Majlis Ama­nah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan terdapat beberapa lagi dewan selera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikesan gagal mematuhi aspek kebersihan.

Menurut beliau, MRSM berkenaan kini berada dalam radar pihaknya dan akan diambil tindakan pada bila-bila masa.

“Saya tahu dua ke tiga MRSM hadapi perkara yang sama (masalah kebersihan) dan mereka pun tahu siapa mereka.

“Jadi, saya mahu beri isyarat kepada mereka, jangan ingat kita tidak boleh menamatkan kontrak, jangan ingat kita tidak boleh ambil bon pelaksanaan yang ada dan jangan ingat kita tidak boleh ambil tindakan mahkamah,”katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sama sekali tidak berkompromi terhadap kontraktor di 57 dewan selera MRSM sekiranya didapati mengambil mudah aspek kebersihan dan penyediaan makanan hingga mendedahkan risiko kesihatan kepada pelajar.

Malah katanya, beliau juga tidak akan gentar atau tunduk kepada mana-mana pihak dan tekanan dalam menangani isu tersebut.

“Saya tidak kira kabel sebesar mana sekali pun, sekiranya melibatkan nyawa pelajar, saya tidak akan berkompromi,”ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai dewan selera MRSM Taiping, Asyraf Wajdi berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengeluarkan notis penutupan terbaru dewan selera itu selama 14 hari bermula hari ini hingga 20 September depan.

Katanya, arahan juga telah diberikan kepada Bahagian Perundangan Mara untuk memperhalusi segala aspek bagi mengambil tindakan ke atas kontraktor berkenaan.

“Difahamkan, kontraktor ini kali pertama dengan Mara dan kontraknya akan tamat pada Disember ini.

“Tindakan segera akan diambil bagi menamatkan kontrak mereka berserta tindakan undang-undang. Ini juga bagi memberi isyarat kepada kontraktor lain agar jangan sesekali mengambil pendekatan sambi lewa dan cincai,”katanya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *