HULU TERENGGANU – Kedatangan tahun 2025 hari menjadi permulaan baharu bagi kartunis tersohor, Ujang selepas 24 tahun diisytiharkan muflis.
Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon, 59, berkata, beliau menerima pelepasan daripada kebangkrapan mengikut Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 pada 29 Julai tahun lalu.
Bapa empat anak tersebut berkata, kehidupannya kini lebih tenang bersama keluarga dan tumpuan akan diberikan terhadap penghasilan karya secara dalam talian selain berperanan sebagai pemain industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini.
“Jika diingat semula kenangan pahit, saya pulang ke kampung di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebaik diisytiharkan muflis, macam-macam kerja termasuk menjual pasu saya buat untuk sara keluarga,”katanya ketika ditemui di Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Ujang tidak menyangka kunjungannya ke Tasik Kenyir untuk menenangkan diri menjadi titik tolak pembabitannya dalam bidang ekopelancongan.
Katanya, pada masa itu, dia mencuba nasib menawarkan pakej memancing dengan menggunakan bot disewa yang merupakan luar bidangnya dalam dunia animasi dan kartun.
Mengimbas detik-detik awal bergelar muflis pada tahun 2000, Ujang memberitahu dia pada masa itu berdepan 19 saman berkaitan isu harta intelek selain hutang RM1.8 juta dengan syarikat percetakan.
Dia yang kini menetap di Seri Kembangan, Selangor berkata, hutang tersebut disebabkan karya-karya berupa karakter kartun dan nama pena, Ujang tidak boleh dipasarkan ekoran telah diwartakan sebagai harta intelek pihak lain. – https://amiminerals.org/