BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki pramatang mungkin tidak dapat bertahan sekiranya gagal menjalani pembedahan segera bagi mengubati penyakit jantung kongenital dihadapinya yang menelan belanja RM90,000.
Muhammad Ammar Arfan Mohd. Faiz Fakrumie, dua bulan, hanya mempunyai berat 1.7 kilogram (kg) selepas dilahirkan secara ceasarean pada usia kandungan 35 bulan.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi itu terpaksa ditempatkan di dalam inkubator dan bergantung pada alat bantuan oksigen sebelum mengalami sinosis atau badan kebiruan semasa berusia sebulan.
Katanya, Muhammad Ammar Arfan kemudian disahkan menghidap penyakit jantung jarang berlaku dikenali ‘total anomalous pulmonary venous drainage’ (TAPVD).
“Jika pembedahan tidak dibuat pada masa terdekat, bayi yang kini bertanya 2.5 kg itu tidak akan dapat bertahan dan penyakit ini boleh meragut nyawanya.
“Pembedahan sepatutnya dibuat semasa beratnya 3.5 kg tetapi keadaannya semakin teruk dan mendesak untuk dibedah dengan segera,” katanya.
Menurut Sui Hau, keluarga bayi berkenaan amat berharap agar orang ramai dapat menyumbangkan dana RM90,000 agar pembedahan itu dapat direalisasikan dan dijadualkan pada minggu ini.
Tambahnya, Mohd. Faiz Fakrumie, 33, merupakan seorang juruteknik gentian optik dan ibunya, Norazlini Mohd Nor, 33, seorang suri rumah.
“Pasangan ini juga mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun. Mereka tampil ke sini untuk meminta bantuan,” katanya.
Sui Hau berkata, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad di nombor 3201428817 atas nama One Hope Charity & Welfare atau layari onehopecharity.org.
Penderma juga boleh menghubungi talian hotline di 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192.