JASIN – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut, manakala ibu dan bapanya cedera selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebuah lori di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Batu Gajah, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa, Nur Hafirzah Qintina Shahrul Asraf Naim meningal dunia ketika diberikan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor.
Ibunya, Nurulnadiah Balqis Abdullah, 22, luka di kepala manakala bapa, Shahrul Asraf Naim Khasiran, 35, luka di dahi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, nahas berlaku selepas kenderaan jenis Toyota Vios dinaiki tiga beranak itu merempuh sebuah lori yang cuba membuat pusingan U.
“Lori dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun itu dari arah lampu isyarat Lebuh AMJ Merlimau menuju Batu Gajah.
“Setiba di lokasi kereta dinaiki tiga beranak ini telah merempuh bahagian belakang lori terbabit yang dari lorong kanan masuk ke lorong pusingan U,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, akibat nahas itu, bayi berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia pada pukul 5 petang ketika menerima rawatan di hospital.
“Punca kemalangan ini adalah disebabkan kereta dinaiki keluarga itu telah hilang kawalan dan masuk ke laluan lori.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan,” ujarnya. – https://amiminerals.org/