Bayi lelaki empat bulan maut di taska tak berlesen

WhatsApp Image 2025 01 09 at 08.33.58

Tangkapan layar luahan wanita dipercayai ibu bayi tersebut di aplikasi X.

KUALA LANGAT – Bayi lelaki berusia empat bulan mati selepas dihantar ke sebuah taska tidak berlesen di Bandar Saujana Putra di baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3. 29 petang daripada seorang doktor sebuah klinik sekitar kawasan Bandar Saujana Putra.

Katanya, berdasarkan laporan doktor berkenaan telah menerima bayi lelaki itu yang dibawa seorang pengasuh taska di dalam keadaan pucat.

“Bayi tersebut juga didapati dalam keadaan kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas selain tiada pergerakan anak mata bila disuluh lampu.

“Pengadu (doktor) serta merta melakukan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Hospital Cyberjaya telah menerima bayi berkenaan kira-kira pukul 4.35 petang hari sama dan melakukan CPR lebih 30 minit.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindak balas sebelum doktor mengesahkan kematian bayi itu pada pukul 5. 05 petang.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan keterangan pengusaha dan pekerja premis telah diambil polis.

“Premis ini tidak berlesen dan permohonan telah dihantar tapi belum diluluskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,”katanya.

Terdahulu, tular luahan sedih seorang wanita menerusi hantaran di aplikasi X apabila anak yang dihantarnya meninggal dunia didakwa akibat kecuaian pihak taska.

Wanita berkenaan juga mendakwa anaknya telah ditinggalkan bersendirian dalam bilik dan dibiarkan tanpa pengawasan sehingga tidak boleh bernafas.

Taska itu juga dikatakan hanya mempunyai dua pengasuh yang menjaga 25 bayi.

“Saya hantar dia elok sihat bernyawa. Last saya tukar pampers semasa dia hidup sebelum saya hantar pergi taska pukul 9 pagi.

“8 jam kemudian, saya kena tukar pampers dia dalam keadaan meninggal. Dunia akhirat saya takkan maafkan. Saya doa Allah laknat semua yang terlibat,”katanya. – https://amiminerals.org/