ALOR GAJAH – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki akibat didera ibu dan bapa kandungnya di Sungai Petai, di sini, semalam.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya yang berusia 22 tahun.
“Wanita terbabit mendakwa bayinya diserang sawan sebelum meninggalkan mangsa di hospital sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.
“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan dilakukan mendapati bayi berkenaan mengalami pendarahan lama dan baru di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka-luka di badan dan leher,” katanya.
Jelasnya, mangsa kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
Mengulas lanjut sumber memberitahu, susulan kesan kecederaan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak hospital kerana mengesyaki mangsa telah didera.
“Ibu dan bapa bayi berkenaan juga berusia 22 tahun kemudian ditahan pada pukul 6.30 petang tadi dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,”ujarnya.
Sementara itu Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes dan penahanan pasangan suami isteri terbabit. – https://amiminerals.org/.