KUALA LUMPUR – Bau busuk yang dihidu dari sebuah rumah di Semenyih membawa kepada penemuan dua mayat dipercayai menjadi mangsa pembunuhan malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 8.43 malam daripada seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang merupakan adik lelaki mangsa.
Beliau berkata, mangsa berusia 53 tahun yang tinggal bersama anak saudara lelaki berusia 25 tahun tidak kelihatan hampir 10 hari di kawasan rumah berkenaan.
“Dengan bantuan pihak bomba, kediaman itu dipecahkan dan kita mendapati dua tubuh terbaring atas lantai di ruang tamu. Kedua-dua mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan di dalam rumah tiada menjumpai apa-apa kesan penggeledahan. Semasa kejadian rumah itu dalam keadaan berkunci dari dalam,”katanya dalam kenyataan malam tadi.
Naazron berkata, pihaknya merampas beberapa barangan kes untuk siasatan lanjut.
“Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dibuat tetapi keterangan ahli keluarga dan saksi-saksi akan rekodkan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini motif kematian dua sekeluarga itu masih dalam siasatan,”katanya.
Tambah Naazron, bedas siasat ke atas mayat mangsa dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Serdang semalam dan mendapati punca kematian mereka adalah disebabkan suffocation (kelemasan).
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat, Asisten Komisioner Umesh Ratnam Kumar di talian 012-6114900.- https://amiminerals.org/