MILAN – Pengendali Barcelona, Hansi Flick menganggap adalah keputusan ‘tidak adil’ buat skuad bimbingannya tersingkir di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini selepas tewas agregat 6-7 kepada gergasi Itali, Inter Milan.
Kekalahan 3-4 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium San Siro awal pagi semalam meleburkan impian Flick untuk menjuarai empat gelaran dalam musim sulungnya bersama Barcelona selepas telah menghadiahkan Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol.
“Sudah tentu kami kecewa kerana kami telah berikan segala-galanya dalam perlawanan ini. Anda sendiri boleh melihat bagaimana kami ketinggalan pada satu ketika sebelum bangkit dan hampir-hampir untuk memenanginya.
“Malangnya ada keputusan 50-50 yang saya rasakan banyak diberikan kepada Inter tetapi inilah kehidupan, anda perlu terimanya dengan hati terbuka.
“Walaupun keputusan ini tidak adil dan pengadil cuma tak begitu memihak kami, namun saya tetap berbangga. Kami akan bangkit lebih hebat lagi musim depan,”kata Flick.
Bekas pengendali Bayern Munich dan Jerman itu bertekad untuk menebus kekecewaan itu dengan memastikan trofi La Liga dimenangi mereka sekali gus menjadi kejuaraan ketiga musim ini.
Bagi merealisasikan perkara itu, Barcelona perlu menang ke atas Real Madrid dalam pertembungan El Clasico pada Ahad ini untuk terus melebarkan penguasaan di puncak La Liga.
“La Liga juga satu cabaran besar terutamanya menentang Madrid dan kami akan berikan segala-galanya. Saya yakin para pemain boleh berbangga dengan apa yang telah mereka lakukan,”tambah Flick. – AGENSI