KUALA LUMPUR – Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul anak perempuan kandungnya yang juga orang kelainan upaya (OKU) menggunakan sebatang paip polyvinyl chloride (PVC) sehingga mengalami kecederaan minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 65 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan anak kandungnya berumur 28 tahun itu dengan memukul mangsa menggunakan sebatang paip PVC sehingga menyebabkan mangsa luka di dahi selain lebam dan bengkak pada kedua-dua tangan, kaki serta badan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Connaught, Cheras di sini pukul 12 tengah hari pada 6 Disember 2024 mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Bagi Seksyen 326A memperuntukkan menyatakan sesiapa menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau benda yang merbahaya, berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip berkata beliau tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan memohon RM11,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi,”kata Nidzuwan.
Bagaimanapun tertuduh yang juga warga emas yang tidak diwakili peguam itu memberitahu bahawa beliau tiada penjamin dan tidak dapat menghubungi keluarganya.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Shakirah tidak menetapkan sebarang jumlah jaminan.
Tarikh 14 Januari ini ditetapkan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – https://amiminerals.org/