KUALA PILAH – Tanah terbiar termasuk di negeri-negeri di kawasan luar jelapang padi seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor kini diberi tumpuan untuk kawasan tanaman padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan kini memberi tumpuan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar yang berkeluasan kira-kira 91,000 hektar di seluruh negara.
“Kita kena anggap sekarang ini bahawa untuk mencukupkan (keperluan) beras ini sebagai yang serius, mesti kita kena usahakan khususnya untuk mengelakkan kebergantungan kepada beras import. Jika apa-apa berlaku kepada negara diimport, kita akan hadapi masalah.
“Kita kena usahakan supaya beras kita berada dalam keadaan terjamin dan cukup, ini yang kita tumpu betul-betul dan soal beras ini menjadi keutamaan kita sekarang.
“Antara langkah diambil beginilah iaitu untuk membangunkan sawah di tanah-tanah terbiar di tiga negeri ini dan negeri-negeri lain, menerusi projek tanaman padi lima musim dua tahun dan juga menjadikan negeri Sarawak sebagai kawasan jelapang padi pada masa akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan turun padang ke Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang di sini hari ini. – https://amiminerals.org/