Banglo mahligai cinta sekali lagi dibadai ombak ganas

BANGLO KASIH

Keadaan terkini hakisan pantai di kawasan banglo milik Mohd. Yazid di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Pemilik banglo yang diancam hakisan teruk di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini kembali resah ekoran fenomena ombak besar musim tengkujuh yang nampak reda sejak seminggu lalu mengganas semula tiga hari lalu.

Mohd. Yazid Idris berkata, fenomena ombak besar tersebut kembali menghakis kawasan kediamannya serta merobohkan sebahagian benteng batu yang dibina sebelum ini.

“Ombak itu terlalu ganas, bukan sahaja sebahagian benteng yang dibina dengan wang sumbangan orang ramai pecah malah turut menghanyutkan batu-batuan besar itu jauh ke tengah laut.

“Saya kini hanya mampu berdoa kediaman yang sangat bererti buat saya dan arwah isteri ini masih teguh berdiri sementara menunggu musim tengkujuh berakhir tidak lama lagi,”katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini hari ini.

Mohd. Yazid percaya banglo yang dibina atas dedikasi terhadap arwah isterinya,
Siti Rashidah Mohd. Yunus masih mampu diselamatkan berdasarkan penilaian beberapa pakar kejuruteraan dan alam sekitar sebelum ini.

Dia berkata, berdasarkan penilaian pakar-pakar tersebut, masalah hakisan pantai kronik yang melanda sekitar banglonya bakal selesai dengan siapnya projek pembinaan pemecah ombak tidak lama lagi.

Kosmo! 11 Januari lalu melaporkan Mohd. Yazid dengan bantuan anak perempuan dan menantunya membanting tulang membina benteng daripada guni pasir bagi menyelamatkan banglo mereka yang sedang diancam hakisan pantai kronik.

Banglo dibina dengan wang persaraan RM600,000 pada 2018 itu amat bererti buat Mohd. Yazid kerana ia dibina sebagai tanda cinta terhadap arwah isterinya yang meninggal dunia akibat kanser usus enam tahun lalu. – https://amiminerals.org/.