Badan lebam petanda hidap kanser

warga emas hidap kanser darah lebam badan

Jarah (kanan) yang menghidap kanser bergantung harap kepada Rosni untuk menguruskan diri.

LIPIS – Seorang wanita warga emas di Kampung Machang Berguling, Mukim Cheka di sini, tidak menyangka rasa tidak sihat dan timbul lebam di badan tiga tahun lalu menjadi petanda dia menghidap kanser darah.

Akibat penyakit itu, Jarah Mudin, 73, kini tidak lagi mampu bergerak aktif selain memerlukan bantuan anak-anak untuk menguruskan diri.

Anaknya, Rosni Mat Ail, 44, berkata, pada mulanya dia hairan lebam di badan ibunya tidak surut walaupun telah makan ubat.

“Jadi kami semua sepakat untuk merujuk ibu ke Hospital Kuala Lipis. Hasil pemeriksaan termasuk ujian darah dan hasil CT Scan (Imbasan Tomografi Berkomputer) mengesahkan ibu hidap kanser darah,” katanya di Kampung Machang Berguling, Mukim Cheka di sini semalam.

Rosni berkata, ibunya kemudian menjalani rawatan kemote­rapi bagi mengelakkan sel kanser itu merebak ke organ lain.

Katanya, dia bergilir-gilir de­ngan empat beradik lain menjaga ibu mereka kerana warga emas itu tidak mampu menguruskan diri.

“Sebelum ini ibu tinggal bersendirian di rumah pusaka di Kampung Atong dekat sini, namun sejak menghidap kanser, kami sepakat untuk bergilir-gilir menjaganya.

“Sejak menderita kanser, ibu juga terpaksa berpantang makan termasuk tidak boleh menjamah makanan laut kerana ia boleh menyebabkannya jatuh sakit,” katanya.

Menurutnya, pendapatan suaminya, Mohamad Ruslan Zakaria, 48, yang bekerja sebagai penoreh getah kira-kira RM700 sebulan dan jumlah itu tidak cukup untuk menampung keperluan keluarga.

“Walaupun ibu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan, namun ia masih belum mencukupi untuk menampung kos membeli lampin pakai buang selain perbelanjaan untuk berulang-alik ke hospital setiap bulan bagi rawatan susulan.

“Tambahan pula dua daripada tiga anak saya masih belajar,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 011-6069 2880 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156208158983 (Mohamad Ruslan Zakaria).