Atok maut kena langgar lepas balik tarawih

WhatsApp Image 2025 03 03 at 11.34.11 AM

SEORANG warga emas maut dalam satu kemalangan selepas pulang dari solat tarawih di Jalan Abdul Rahman, Muar malam semalam.

MUAR – Seorang warga emas maut selepas dilanggar ketika melintas jalan raya sejurus selesai menunaikan solat sunat tarawih dalam kejadian kemalangan di Jalan Abdul Rahman di sini malam semalam.

Difahamkan, mangsa, Mohamad Arip, 82, yang juga bekas seorang pendidik baharu sahaja selesai menunaikan ibadah di surau berdekatan dan dalam perjalanan menuju keretanya yang diletakkan di seberang jalan terbabit.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 9.40 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah kereta dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun sedang bergerak menghala ke Taman Aman.

“Keretanya kemudian terlanggar seorang pejalan kaki yang melintas secara tiba-tiba menyebabkannya yang sedang memandu kereta tidak sempat mengelak mangsa.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa berusia 82 tahun itu telah tercampak ke cermin hadapan kereta yang tidak sempat mengelak dan terjatuh atas jalan raya,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melintas jalan dan memandu kenderaan.-https://amiminerals.org/