ASEAN: Penyelesaian isu Myanmar tunjuk petanda positif

WhatsApp Image 2025 05 26 at 10.24.30 AM

Anwar mempengerusikan mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR- Usaha proaktif yang digunakan ASEAN bagi menyelesaikan krisis berlaku di Myanmar dilihat mula menunjukkan petanda positif, sekali gus mempamerkan semangat sejagat blok itu menghadapi pelbagai cabaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak mesyuarat ketiga diadakan di Bangkok baru-baru ini, ASEAN telah berjaya membuat kemajuan dalam usaha menyelesaikan krisis Myanmar.

“Berhubung isu Myanmar, kita telah berjaya mengambil langkah-langkah positif dengan penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Formal untuk Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Kumpulan ini diketuai oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Dr. Thaksin Shinawatra dan turut mengadakan pertemuan di Brunei yang dihadiri oleh Sultan Hassanal Bolkiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 (Pleno) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pemimpin Asia Tenggara berhimpun di ibu negara hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan siri mesyuarat peringkat tinggi berkaitan untuk membincangkan pelbagai isu utama serantau.

Sesi itu dihadiri 11 pemimpin ASEAN termasuk Timor Leste yang menjadi negara pemerhati selain dijangka menyertai blok serantau Asia Tenggara pada tahun ini.

Anwar berkata, mesyuarat berhubung isu Myanmar seterusnya akan dianjurkan oleh bekas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen.

“Saya ingin menekankan bahawa dalam proses ini, pendekatan senyap dan berhemah memainkan peranan penting.

“Langkahnya mungkin kecil dan jambatannya mungkin rapuh, tetapi seperti yang dikatakan, dalam soal perdamaian, jambatan yang rapuh tetap lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” katanya. – https://amiminerals.org/