Arwah Ramli selalu ketawa, tersenyum – Sepupu

WhatsApp Image 2024 12 24 at 5.15.40 PM

Abu Talib menceritakan peribadi Allahyarham Ramli ketika ditemui di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi Sungai Tangkas, hari ini.

BANGI – “Arwah seorang yang bagus, ‘educated’ (berilmu), tak ada masalah. Dia seorang yang peramah, selalu ketawa dan tersenyum,”kata Abu Talib Abu Bakar, 57, sepupu kepada Allahyarham Ramli Ab. Wahab, 66.

Ramli merupakan seorang daripada penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang maut dalam nahas di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di Melaka malam tadi.

Berkongsi perwatakannya, Abu Talib berkata, Ramli juga seorang yang sentiasa ceria dan senyumannya akan menjadi kenangan buat mereka sekeluarga selepas ini.

“Dia ‘happy go lucky’, tak ada lah serius. (Senyuman Ramli) memang kenangan abadi. Belum pernah ada isu, sepanjang saya bernikah dengan isteri yang juga sepupunya.

“Kali terakhir kami berjumpa pada Aidilfitri lalu di Melaka iaitu di rumah arwah ibunya,”katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi, Sungai Tangkas di sini hari ini.

Abu Talib berkata, dia hanya mengetahui nahas tersebut pada pagi tadi.

“Saya tinggal di Alor Gajah, rumah saya dengan tempat kejadian tak jauh. Kalau tahu awal, mesti saya pergi awal (ke lokasi).

“Kami tengok berita, TikTok semua dan kakak ipar yang duduk Bandar Teknologi Kajang maklumkan (nahas). Ia satu pemergian yang tidak diduga,”ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan seramai tujuh mangsa maut, manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), Melaka malam tadi.

Nahas tersebut dipercayai berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut di lorong tengah lebuh raya menyebabkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang dari arah utara ke selatan gagal mengelak dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Mangsa yang maut adalah Khairul Izwan Mazupi, 32, dan isteri Fadzlenna Ramli, 32, serta anak mereka, Muhammad Umar, 2. Dua lagi mangsa adalah ibu bapa kepada Fadzlenna iaitu Ramli dan Fauziah Jaafar, 69.

Dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang yang juga warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66. – https://amiminerals.org/