Arif Aiman pemain luar biasa

Arif Aiman

ARIF AIMAN dalam kelas tersendiri apabila meledak hatrik dalam tempoh 42 minit menentang KL City. – RAJA JAAFAR ALI

KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio melabel Arif Aiman Hanapi sebagai pemain luar biasa selepas menjadi wira pasukan ketika menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.

Ketika Harimau Selatan bergelut mencari ruang meruntuhkan benteng The City Boys, Pemain Paling Bernilai (MVP) 2023 itu meledak dua jaringan cantik hasil rembatan deras dari luar kotak penalti pada babak pertama permainan.

Bintang JDT itu mengambil masa 42 minit untuk melengkapkan hatrik pada aksi tersebut apabila menyudahkan sepakan penalti sekali fus menghadiahkan tiga mata buat penyandang juara Liga Super.

“Dia (Arif Aiman) bermain sangat luar biasa pada malam ini (kelmarin) bukan kerana dia menjaringkan hatrik, malah bermain secara berpasukan selain turut membantu ketika bertahan.

“Saya gembira melihatnya bermain dengan sangat bagus, ini kerana saya tahu bagaimana dia bekerja keras setiap hari bagi meningkatkan mutu permainannya. Tidak dinafikan dia adalah pemain terbaik,”ujarnya.

Menurut pengendali kelahiran Argentina itu, bukan sahaja Arif Aiman, malah keseluruhan pasukan juga melaksanakan tangggungjawab sebaik mungkin setelah melalui jadual perlawanan yang padat.

Jelasnya, kejayaan itu bukanlah mudah setelah pasukan lawan bermain sangat rendah dan kompak hingga menutup ruang buat pasukan untuk mencipta peluang jaringan pada babak pertama.

“Situasi sama turut berlaku di babak kedua, pergerakan menjadi agak terbatas dan menyukarkan gerakan gol dilakukan. Bagaimanapun, pemain sudah melakukan yang terbaik dan mengekalkan kelebihan jaringan hingga penamat.

“Memandangkan kita akan berdepan lawan sama selepas ini (suku akhir Piala Malaysia), ada beberapa aspek yang perlu ditambah baik termasuklah sentuhan penyudah. Setiap peluang itu perlu diterjemahkan sebaiknya, ini antara yang perlu kita perbaiki lagi,”ujarnya.

JDT akan bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi suku akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini sebelum melayan kunjungan KL City untuk aksi timbal balik pada 21 Disember nanti.