JASIN – Seekor ular sawa batik sepanjang 4.57 meter dan seberat 40 kilogram berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas dikesan berlingkar di bawah sebatang pokok di Kampung Meriang, Nyalas, di sini semalam.
Pegawai Unit Pertahanan Awam Selandar, Leftenan (PA) Mohd. Kamil Hassan berkata, tiga anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima aduan pada pukul 11.35 pagi.
“Sebaik menerima maklumat, pasukan penyelamat dari Pejabat Unit Pertahanan Awam (PUPA) Selandar bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 12.01 tengah hari.
“Pemilik tanah memaklumkan dia sedang membersihkan kawasan semak samun untuk membina rumah sebelum terlihat ular sawa itu berlingkar di kawasan redup berhampiran sebatang pokok,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, sebaik mengesan lokasi reptilia itu, anggota APM segera bertindak menjerut kepala ular menggunakan alat khas bagi mengelakkannya melarikan diri.
“Operasi agak mencabar kerana ular itu agresif dan melawan, namun anggota kami berjaya menangkapnya dalam masa kira-kira 30 minit.
“Ular sawa ini antara yang terbesar berjaya ditangkap APM Melaka setakat ini tahun ini,”katanya.
Sementara itu, pengadu, Azman Ayob, 62, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia membersihkan tanah lot milik anaknya yang dibeli kira-kira enam bulan lalu.
“Kerja-kerja pembersihan baharu saja dimulakan tiga hari lalu dan saya memang berhati-hati semasa menebas kerana sebelum ini pernah terserempak ular sawa batik ketika membersihkan tanah di Batu Berendam.
“Pagi tadi (semalam), ketika menggunakan mesin rumput, saya terpandang ular sawa itu sedang berlingkar di dalam semak, disebabkan saiznya yang besar, saya segera menghubungi talian 999,” katanya.
Azman meluahkan rasa lega apabila ular berkenaan berjaya ditangkap dan berterima kasih kepada anggota APM atas tindakan pantas mereka.- https://amiminerals.org/