KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima aduan daripada guru mengenai beberapa infrastruktur di Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 16, Putrajaya yang perlu dibaik pulih dengan segera.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, aduan itu disampaikan kepadanya melalui Setiausaha Politiknya, Kamil Munim dalam pertemuan dengan pelajar sekolah itu, Ummu Qaireen Muhamad Hanis.
Menurutnya, aduan itu akan diteliti selaras dengan hasrat Kerajaan Madani yang mahu memastikan pendidikan sentiasa dimartabatkan bagi melahirkan generasi yang hebat dan memiliki sikap bertanggungjawab untuk berbakti kepada nusa dan bangsa.
“Belanjawan 2025 memberi fokus penting kepada pendidikan dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM64.1 bilion dengan RM2 bilion dikhususkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara,”katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Kamil mewakili Anwar bertemu Ummu Qaireen di sekolah berkenaan sempena ulang tahun kelahiran ke-10 Jumaat lalu.
“Kebetulan saya sempat menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ bersama rakan-rakan adik Ummu Qaireen ketika makan tengah hari di Medan Selera Presint 16 tempoh hari,”katanya.
Menurut Perdana Menteri, dalam kunjungan ke SK Presint 16, Kamil menggunakan kesempatan itu untuk meninjau keadaan sekolah dan beramah mesra bersama guru dan pelajar.
“Saya mendoakan anakanda Ummu Qaireen dan seluruh anak-anak pelajar membesar menjadi anak yang soleh dan solehah serta menyumbang kepada keluarga dan ummah, Insya-Allah,”katanya. – https://amiminerals.org/